Wednesday, August 8, 2007

Nafam diharap rumus langkah berkesan urus aset kerajaan

KONVENSYEN Pengurusan Aset dan Kemudahan Negara (Nafam) 2007 minggu depan diadakan tepat pada masanya ketika negara sedang menghadapi pelbagai masalah berkaitan penyelenggaraan bangunan dan aset kerajaan. Kesediaan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi merasmikan dan menutup konvensyen itu menunjukkan keprihatinan beliau terhadap isu berkenaan yang jika tidak ditangani segera boleh menjejaskan nama baik kerajaan dan sektor perkhidmatan awam. Menteri, Menteri Besar, Ketua Menteri dan pegawai kanan agensi kerajaan yang menyertai konvensyen itu juga diharap dapat menyumbang idea dalam usaha merevolusikan sistem pengurusan aset dan kemudahan negara bernilai trilion ringgit itu. Penekanan aspek keselamatan bangunan kerajaan sejajar hasrat mewujudkan masyarakat dengan minda kelas pertama. Malah, konvensyen bertemakan ‘Pengurusan Aset dan Kemudahan: Menangani Cabaran Masa Depan’ itu diharap menjadi wadah kepada semua pihak untuk meningkatkan kecekapan pengurusan dan penyelenggaraan.Keperluan mengadakan konvensyen yang julung kali diadakan begitu mendesak berikutan laporan mengenai pelbagai kerosakan di bangunan kerajaan, sesetengahnya secara mengejut akibat kelemahan penyelenggaraan. Beberapa kejadian yang berlaku masih segar dalam ingatan seperti siling bocor di bangunan Parlimen, paip bocor di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Imigresen di Putrajaya serta siling runtuh di jabatan dan hospital kerajaan di beberapa negeri. Penyelenggaraan setiap bangunan kerajaan adalah penting bagi mengurangkan gangguan atau bagi mengelakkan perkhidmatan khususnya yang berurusan dengan orang ramai tergendala. Kegagalan menyelenggara bangunan kerajaan dan kemudahan fizikal sektor awam boleh mengurangkan prestasi agensi kerajaan serta memberi kesan negatif kepada rakyat. Selalunya, apabila timbul masalah, banyak pihak saling menuding jari sedangkan bangunan kerajaan sepatutnya mempunyai unit penyelenggaraan sendiri. Tanpa unit berkenaan, proses membaiki, apatah lagi jika membabitkan keruntuhan struktur bangunan, akan mengambil masa lama termasuk urusan penyediaan kertas cadangan pembaikan dan pelantikan kontraktor. Proses itu akan menyebabkan kerosakan menjadi bertambah buruk dan kosnya terus meningkat selain pekerja tidak dapat bertugas dengan selesa. Kajian yang dilakukan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mendapati ketiadaan penyeragaman dari segi prosedur adalah antara kelemahan dalam penyelenggaraan membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Ini berlaku kerana tiada satu sistem yang standard dari segi penyelenggaraan, juga tiada dasar yang boleh menjadi panduan untuk diikuti apabila berlaku masalah dalam pengurusan aset dan kemudahan kerajaan kerana sesetengah jabatan dan agensi ada cara tersendiri untuk menangani masalah berkenaan. Berikutan ketiadaan tindakan bersepadu dan seragam, konvensyen Nafam 2007 pada Isnin dan Selasa ini diharap dapat merumuskan dasar, pendekatan lebih praktikal dan sistematik dalam menyelenggara bangunan serta aset kerajaan. Apa juga rumusan yang dibuat hendaklah diterima dan dilaksanakan semua jabatan terbabit bagi membolehkan tindakan lebih berkesan dan cepat dapat diambil. Justeru, pengurusan standard dan telus hendaklah meliputi keseluruhan pejabat termasuk cawangan negeri dan daerah selain ibu pejabat bagi memastikan keberkesanannya. Kita juga berharap menerusi pengurusan sistematik, semua kerosakan membabitkan aset kerajaan dapat diuruskan secepat mungkin tanpa perlu melalui kerenah birokrasi. Cara ini juga dapat membaiki sistem penyampaian kerajaan yang selama ini dipertikaikan banyak pihak termasuk Perdana Menteri sendiri.

No comments: